10 Perubahan Kecil Untuk Tahun 2021 Yang Lebih Bermakna
Terima kasih 2020. Di atas segala suka duka, penat lelah, tawa mahupun tangis. Sejarah tercipta. Langkah baru bermula. Sampai bila keadaan ini, tiada siapa yang tahu. Yang pastinya, pandemik ini di luar kawalan kita. Tak mampu menjangka mahupun meneka. Apa yang di dalam kawalan kita adalah mengamalkan norma baru. Jaga jarak, pelitup muka dan amalkan kebersihan tangan. Pilihan bagaimana hendak beri reaksi kepada keadaan sekeliling ada di tangan kita. Selamat datang tahun 2021. Mungkin boleh dipertimbangkan beberapa perubahan atau keputusan yang perlu diambil untuk tahun 2021 yang lebih bermakna. 1. Lebihkan senyuman. Dah lama senyuman-senyuman kita semua tertutup dek pelitup muka. Tetapi, teruskan tersenyum. Mungkin tak terlihat oleh mata tapi hati mampu merasa. 2. Kurangkan merungut terutamanya perkara yang remeh temeh atau tidak perlu diperbesar-besarkan. Pandemik ini mengajar kita bahawa ada perkara lebih penting perlu diberi perhatian. Dunia berdepan dengan isu hidup dan mati ...