Seronok juga bila awal-awal tahun dicabar begini. Sekurang-kurangnya boleh menjadi pemangkin semangat yang biasanya hangat-hangat tahi ayam ni. Oh, pandai betul orang dulu-dulu buat peribahasa ya, tepat betul kena pada batang hidung. Salah satu azam saya tahun ini (itupun jika boleh dipanggil azam, kerana kehendak yang usahanya tidak konsisten seperti tidak layak dipanggil azam) ialah hendak menghabiskan membaca dan menghadam buku-buku saya yang dah banyak betul seperti tersepuk di rak buku. Beberapa jenis buku dibawa juga ke hulu ke hilir; ada di tepi katil, di tepi sofa, di dalam beg sentiasa di bawa, di pejabat, dalam almari atas, dalam almari bawah, tapi kebanyakannya belum habis saya baca dan hadam. Baru-baru ni saya beli buku Catatan Mat Luthfi, semangat betul membacanya, hampir habis dah sebab lawaknya memang best! Tapi tup tup entah mana saya letak dek dibawa ke hulu ke hilir, sampai sekarang saya tak jumpa di mana buku tu, sedangkan hati melonjak-lonjak nak membaca la...